IN THE PRESS


Back

Malaysia perlu 15,000 doktor

Oleh Wan Noriza Meor Idris
wannoriza@nstp.com.my
2010/01/16

PETALING JAYA: Kerajaan menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menyifatkan profesion kedoktoran di negara ini mengalami masalah lebihan sumber menjelang 2015, sebaliknya menegaskan Malaysia sebagai negara maju memerlukan kira-kira 24,000 doktor.

Katanya, jumlah ditetapkan Kementerian Kesihatan menepati unjuran ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dengan memperkenalkan penanda aras 1:600 iaitu dengan jumlah penduduk yang meliputi 600 orang, seorang doktor dikehendaki dalam satu komuniti.

"Nisbah itu ditetapkan WHO berdasarkan jumlah penduduk dalam satu negara yang dipengaruhi secara langsung keadaan sosio ekonomi, geografik, demografik dan teknologi mereka. "Sebagai negara membangun, Malaysia memerlukan lebih ramai doktor bagi memenuhi keperluan penduduk di negara ini yang berdepan dengan kepelbagaian cabaran penyakit dan masalah kesihatan ketika ini," katanya pada sidang media selepas majlis memeterai memorandum perjanjian (MOA) antara kementeriannya dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di sini, semalam.

Mengulas masalah kekurangan doktor ketika ini, Liow berkata, berdasarkan kaji selidik dan pemantauan Kementerian Kesihatan, peningkatan jumlah pelajar yang cenderung untuk menceburi bidang perubatan dijangka mampu menyokong keperluan semasa di samping lebih ramai doktor Malaysia yang berkhidmat di luar negara memberikan komitmen mereka pulang ke tanah air bagi menyumbang dan membantu kerajaan merealisasikan agenda itu.

Katanya, peningkatan jumlah graduan pelajar perubatan yang bakal menceburi sektor awam, swasta dan luar negara dengan sasaran mencecah 3,300 doktor menjelang akhir tahun ini berbanding 3,000 doktor yang dicatatkan tahun lalu, gambaran positif yang ditunjukkan untuk jangka panjang.

"Kami mengambil berat masalah kekurangan doktor yang dialami di negara ini dan mengambil langkah mempercepatkan tempoh permohonan jawatan itu menerusi unit khas di kementerian yang bertanggungjawab membantu graduan luar negara dalam mengisi kekosongan jawatan profesion ini.

"Graduan digalakkan berkhidmat dengan kerajaan kerana pelbagai insentif serta kemudahan menarik ditawarkan. Malah, pelbagai insentif baru diperkenalkan bagi memastikan khidmat doktor tempatan dapat dikekalkan supaya mereka tidak lari dan mencari peluang pekerjaan baru di organisasi perubatan di tempat lain," katanya.

Sementara itu, ketika mengulas penularan wabak Influenza A (H1N1), Liow berkata, kerajaan sudah menubuhkan syarikat 9Bio dengan tumpuan khusus dijanakan ke arah membangunkan dan menghasilkan pelbagai vaksin yang diperlukan bagi mencegah jangkitan penyakit, termasuk H1N1.

Source: http://www.hmetro.com.my/articles/Malaysiaperlu15_000doktor/Article/


Source: Harian Metro, 16 Jan 2010