IN THE PRESS


Back

10 karya terbaik dipilih sertai MAViC 2010

KUALA LUMPUR 1 Jun - Sepuluh finalis, masing-masing lima daripada kategori pengumuman khidmat awam (PSA) dan video pendek akan menyertai pertandingan Video Anugerah Merdeka (MAViC 2010).

Bagi kategori PSA, mereka ialah pasukan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dengan karya berjudul Cermin Mata Atuk dan Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan karya bertajuk Lain-Lain.

Sementara, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia menampilkan karya Projek Merdeka Adik manakala UiTM Melaka, Berdiri Tegak dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) - We Are Malaysian .

Bagi kategori video pendek, finalisnya adalah UiTM Shah Alam - Aku Benci Merdeka ; Kuala Lumpur Infrastructure University College (KLIUC) - Independent.A Start ; UPM - Titis-Titis Kealpaan ; UTAR - The Call Of Freedom dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) - Aku dan Merdeka.

MAViC 2010 anjuran Sekretariat Anugerah Merdeka dan Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Astro yang julung kali diadakan itu bertemakan 'Aku dan Merdeka'.

Pengerusi MAViC 2010, Dr. Megat Al-Imran Yasin berkata, pertandingan itu telah menerima sebanyak 177 penyertaan institusi-institusi pengajian dari seluruh negara, satu angka memberangsangkan kerana melebihi sasaran 100 penyertaan.

Katanya, daripada jumlah itu seramai 80 peserta terpilih menyertai saringan super pitch bagi memilih karya yang menepati ciri-ciri tema.

"Penyertaan amat memberangsangkan, malah kita juga menerima panggilan daripada pelajar yang sedang menuntut di luar negara tetapi terpaksa ditolak kerana syaratnya adalah daripada dalam negara sahaja.

"Apa yang menarik terdapat dua pelajar antarabangsa yang menuntut di KLIUC yang turut terpilih bersama pasukannya bagi kategori video pendek," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena penyerahan cek sebanyak RM3,000 dan RM5,000 kepada finalis kategori PSA dan video pendek bagi menampung kos penggambaran yang bermula 1 Jun hingga 16 Julai ini.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Eksekutif Sekretariat MAViC 2010, Datuk Khalid Mohd. dan Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM, Prof. Madya Dr. Che Ibrahim Salleh.

Sementara itu, Khalid berkata, para finalis amat beruntung kerana Astro telah menyatakan kesediaan untuk menyiarkan kesemua karya peserta dalam Astro Prima.

"Ia satu penghormatan tertinggi yang diberikan kepada peserta kerana sebelum ini kita mencadangkan hanya pemenang pertama dan kedua sahaja akan disiarkan dalam Astro Prima tetapi saya dimaklumkan bahawa mereka memilih untuk menyiarkan semua sekali.

"Perkara ini pasti akan menjadi kenangan paling manis dan saya yakin ia akan menguatkan lagi semangat mereka menghasilkan produk terbaik kerana ia akan dipancarkan ke setiap peti televisyen bukan sahaja di Malaysia, malah di negara jiran," katanya.

Dalam pada itu, dua pelajar antarabangsa KLIUC, Mark Vershima Akem dari Nigeria dan Nlemba Laurent dari Cameroon menyatakan kegembiraan mereka apabila berjaya memasuki pertandingan akhir.

Source:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0602&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_33.htm


Source: Utusan Malaysia Online, 2 June 2010