18 August 2010,
MAViC: Hasil yang membanggakanOleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
MENJELANG malam penganugerahan Pertandingan Video Anugerah Merdeka (MAViC) pada 25 September ini, baru-baru ini telah diadakan sesi tayangan bagi 10 video hasil nukilan pelajar institusi pengajian tinggi yang menyertai pertandingan itu. Tayangan yang dipertontonkan kepada barisan juri pertandingan, peserta dan pihak media di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu khas diadakan bagi membolehkan juri memberi penilaian tentang hasil kerja yang dilakukan oleh peserta. Menariknya, pertandingan julung kali dianjurkan oleh UPM itu membenarkan barisan pelajar menterjemah rasa dan emosi mereka tentang kemerdekaan menerusi video-video yang dihasilkan. Pertandingan yang mengangkat tema Aku dan Merdeka itu membariskan 10 finalis yang diwakili oleh pelbagai institusi pengajian tinggi tempatan. Dua kategori dipertandingkan. Sebanyak lima peserta akhir dipilih bagi kategori Video Pendek manakala lima penyertaan lagi mewakili kategori Pengumuman Khidmat Awam (PSA). Bagi kategori Video Pendek, finalis diwakili oleh Nurul Fasihah Mansorudin dari Aswara mengenengahkan video bertajuk Aku Dah Merdeka?, Kamaliah Azhar dari UiTM (Aku Benci Merdeka), Nur Hakimah Izzati Jaapar dari UPM (Titis-titis Kealpaan), Teoh Hui Ting dari KLIUC (Independent The Start) dan Woo Mun Kit dari UTAR (The Call Of Freedom). Sementara kategori PSA pula diwakili oleh Mohd. Afiq Deen Azizan dari UIA (Projek Merdeka Adik), Mohd Rahhiemi Alias dari UiTM (Cermin Mata Atuk), Mohd. Shakreen Razali dari UPM (Lain-lain), Sarannya A/P Komarakuru dari UTAR (One) dan Amir Aizat Kamaruzaman dari UiTM (Berdiri Tegak). Karya-karya yang dihasilkan dinilai oleh enam juri profesional. Pelbagai idea dan gambaran yang dipaparkan oleh barisan finalis tentang semangat dan erti kemerdekaan dalam kehidupan masyarakat tempatan. Barangkali, untuk kali pertama penganjuran pertandingan itu hasilnya boleh dibanggakan kerana video-video yang terpilih bakal ditayangkan di Astro sekitar September nanti. Pelbagai kriteria yang diambil kira dalam penilaian dan nilai komersial sesebuah video yang dihasilkan. Ini termasuklah aspek dan isu yang diketengahkan, struktur dalam persembahan, tema dan kesesuaiannya, cara pembentangan video serta impak, kreativiti dan keaslian sesebuah video yang dihasilkan. Mengulas tentang video-video yang dihasilkan salah seorang juri Syed Muhamed Syed Hassan, apa yang diperhatikan ketika sesi penilaian itu ada beberapa video yang menepati kriteria pemilihan. "Dari segi mutu, memang nampak kebangkitan idea di kalangan generasi baru dalam meluahkan apa yang mereka rasa. "Satu persatu video memang berlainan dan tidak nampak sama daripada yang pernah kita tonton di kaca televisyen sebelum ini. "Daripada sini, kita dapat melihat pelajar memahami apa yang diketengahkan oleh pihak penganjur dan menepati apa yang hendak dipaparkan itu saya kira cukup membanggakan kami," katanya. Sementara itu, Pengarah Eksekutif Seketariat Anugerah Merdeka, Datuk Khalid Mohd. memberitahu, tujuan penganjuran pertandingan itu adalah sebagai platform kepada pelajar institusi pengajian tinggi meluahkan erti kemerdekaan dalam bentuk visual. "Cuma satu persoalan yang bermain, adakah ia telah mencapai seperti apa yang dihasratkan oleh MAViC sebelum ini. "Apa yang penting, kita sudah bermula. Ini tahun pertama MAViC diadakan dan harap-harap ia dapat dianjurkan lagi pada tahun akan datang," katanya. Hadiah-hadiah yang ditawarkan kepada pemenang ialah wang tunai RM5,000, trofi dan sijil penyertaan bagi kedua-dua kategori. Naib juara pula menerima wang tunai RM3,000 di samping trofi dan sijil. Sementara hadiah sampingan lain akan menerima wang RM1,000 beserta trofi dan sijil penyertaan. Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0818&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=hi_03.htm |