IN THE PRESS

14 Mei, 2009 18:27 PM
Public Bank Derma RM1.25 Juta Kepada UTAR

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Public Bank Bhd, sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporatnya, hari ini menyumbang RM1.25 juta kepada Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) bagi penubuhan Kerusi Tan Sri Dr Teh Hong Piow dalam perbankan dan kewangan.

Pengarah Urusan Tan Sri Tay Ah Lek berkata pendidikan dan penyelidikan merupakan batu asas persiapan pelbagai lapisan manusia dalam menghadapi realiti secara kritikal, dan mengetahui bagaimana untuk mengambil bahagian dalam transformasi dunia.

"Usaha sama antara UTAR dan Public Bank ini akan membuahkan hasil dari segi pertukaran kepakaran antara industri dan ahli akademik. Faedahnya kemudian diperturunkan kepada komuniti yang lebih besar seperti fakulti akademik, para pelajar dan industri perbankan," katanya pada majlis penyerahan replika cek di sini, Khamis.

Sumbangan itu yang akan diagihkan untuk tempoh lima tahun, akan menyaksikan pelantikan profesor terunggul bagi menduduki kerusi itu dan mengendalikan penyelidikan lanjutan dalam bidang perbankan dan kewangan.

Kerusi itu, yang akan ditubuhkan di Fakulti Perniagaan dan Kewangan, Kampus UTAR Perak di Kampar, juga akan menggalakkan pendidikan dan latihan dalam bidang berkaitan, sekaligus dapat melahirkan sekumpulan besar pakar terdiri daripada kedua-dua akademik dan wakil syarikat industri untuk menyediakan khidmat nasihat kewangan.

Pada majlis yang sama, Public Bank juga menaja sejumlah RM30,000 sebagai tanda sokongan kepada Persidangan Sedunia Institut Akauntan Pengurusan Bertauliah (CIMA) 2009 dan sebagai rakan kongsi rasmi dan RM60,000 kepada Anugerah Nasional bagi Perakaunan Pengurusan (Nafma) 2009.



-- BERNAMA